Etimologi Kerajaan Reman

Nama negeri itu mungkin berasal daripada perkataan bahasa Melayu Patani iaitu rama', serumpun dengan bahasa Melayu Piawai iaitu ramai,[1][2] yang bermaksud "satu perhimpunan besar". Ia berkemungkinan dinamakan sempena petempatan yang semakin berkembang yang diasaskan di kawasan itu sekitar akhir abad ke-18.

Rujukan bahasa Inggeris terawal negeri itu dibuat pada tahun 1818, antara perjanjian oleh Gabenor Pulau Prince of Wales (Pulau Pinang), John Bannerman kepada Tuan Long Mansur, raja Reman di Kroh (kini dikenali sebagai Pengkalan Hulu, sebuah bandar di sempadan Malaysia–Thailand); rujukan lain telah ditulis pada tahun 1824 oleh John Anderson, seorang ejen diplomatik Scotland yang menyatakan Reman sebagai salah satu daripada tujuh negeri bersekutu Patani. Wilayah itu juga dirujuk sebagai Rahman dan Rehman dalam bahasa Inggeris, dan Raman (รามัน) dalam bahasa Thai.

Henry Burney, iaitu seorang pengembara komersial dan diplomat British untuk Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI), telah merekodkan pada tahun 1826 bahawa Reman adalah salah satu daripada empat belas negara yang memberi penghormatan kepada orang Siam melalui wakil mereka di wilayah (changwat) Nakhon Si Thammarat dan Songkhla.[3][4]

Rujukan

WikiPedia: Kerajaan Reman http://kebunketereh.com/?p=387 http://www.orangkelantan.com/legeh-dan-reman-terpa... http://www.orangperak.com/loghat-patani-batu-kurau... http://www.orangperak.com/pengkalan-hulu-dahulunya... http://www.orangperak.com/sejarah-dan-asal-usul-ge... http://georgetownstreet.blogspot.my/2010/02/raman.... http://tikimambang.blogspot.my/2016/05/asal-usul-r... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt... http://hids.arkib.gov.my/-/penyerahan-daerah-daera... http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=legeh&d=24319...